Category 1

Semenjak di universiti, Azman mempunyai keinginan untuk membuka kedai makannya sendiri. Resipi enak turun temurun dari neneknya menjadi inpirasi untuk Azman supaya dia dapat kongsikan citarasa keluarganya. Setelah 6 tahun bekerja, dengan sedikit modal yang di simpan, Azman beranikan diri untuk berhenti kerja dan memulakan restorannya sendiri.

Tahun pertama beroperasi, sambutan sangat memuaskan tapi duit hasil perniagaan macam tak nampak. Tahun kedua Azman makin risau sebab sambutan dah makin kurang dan dia terpaksa mencelup simpanannya untuk memastikan operasi restorannya tidak terjejas dan tak sampai penghujung tahun ke tiga, Azman terpaksa mengaku kalah dan dengan kesedihan terpaksa menutup kedainya.

Cerita sebegini banyak kita kedengaran dan memang secara lazimnya 60% ke 80% restoran akan lingkup dalam masa 3 tahun beroperasi. 

Apakah puncanya? Di sini kami kongsikan 7 sebab kebanyakkan kedai makan tak dapat bertahan lama.



1. Terlalu Optimistik


Kebanyakan mereka bermula dengan motivasi bisnes yang agak optimistik, apatah lagi yang dapat suntikan semangat dari seminar motivasi bisnes yang melakarkan kehidupan yang serba mewah dalam masa yang singkat selepas memulakan bisnes. Ataupun terpengaruh dengan kejayaan rakan yang baru setahun berniaga sudah boleh membeli kereta mewah.


2. Kekurang ilmu bisnes


Seperti apa yang Kevin O'Leary kata, "Business Is War" atau 'Bisnes adalah peperangan' mereka beranggapan memulakan bisnes adalah sesuatu yang mudah. Dalam realitinya menjalankan bisnes lagi susah dari menjadi seorang pekerja. Anda harus tahu segala benda mengenai bisnes anda dan juga 'musuh' dan keadaan semasa. Seperti seorang jeneral semasa peperangan, dia haruslah tahu semua tentang kekuatan angkatannya dan juga strategi yang sesuai untuk tumpaskan musuhnya.



3. Mengendalikan bisnes secara solo


Untuk memulakan kedai makan memang banyak kerja perlu dibuat sendiri. Dari penyediaan makanan, memasak sehinggalah pengurusan. Masa adalah terhad dan jika terlalu banyak masa di habiskan untuk penyediaan makanan, adakah masa mencukupi untuk menganalisa prestasi bisnes dan mencari penyelesaian untuk masalah yang timbul? 



4. Berkembang seperti cendawan


Tak sampai setahun kedai makan beroperasi dah buka kedai kedua. Operasi di kedai makan pertama masih tidak stabil, standard masih tidak konsisten, dan citarasa pelanggan masih belum dapat di pastikan. Sekarang bila dah buka kedai kedua, masalah yang sama sudah berganda dan pada biasanya masalah memerlukan duit. Jika duit dah habis sebelum masalah ditangani, apa yang akan terjadi?



5. Duit pinjaman sebagai modal


Bagi mereka yang berkerjaya, pinjaman peribadi mudah didapati. Ini memberi peluang untuk mereka membuat persediaan untuk keluar dari bidang pekerjaan dan terjun ke medan usahawan. Tapi tanpa perancangan yang kukuh, malapetaka yang menunggu. Memulakan bisnes memang datang dengan risikonya, dan biasanya dimulakan dengan hanya andaian keuntungan. Tetapi jika andaian itu tidak tercapai? Siapa yang akan bayar pinjaman itu?



6. Mencampur Adukkan Wang Bisnes dan Peribadi


Kalau anda baca buku bisnes, salah satu pepatah yang penting dalam bisnes adaah 'Cash is King' atau 'Tunai adalah Raja'. Tanpa aliran wang tunai yang kukuh, bisnes tidak dapat berjalan dengan lancar. Banyak kedai makan yang lingkup disebabkan pemiliknya suka hati mengambil tunai dari bisnesnya untuk kegunaan peribadi. Akibat perbuatan itu, bisnes kekurangan wang untuk membayar gaji, membelik bahan mentah dan sebainya.



7. Tiada Perancangan Jangka Masa Lama


Kebanyakkan pemilik bisnes cuma tahu menjalankan satu kedai makan sahaja. Tanpa perancangan untuk berkembang, pasti keuntungan tidak akan meningkat. Lama kelamaan, bisnes sudah menjadi tidak relevan dan prestasi makin merosot. Tak sempat nak tukar strategi dah terpaksa tutup kedai. Contoh seperti kegilaan bisnes bubble tea yang pada satu masa dulu terdapat banyak jenama, tetapi sekarang hanya tinggal satu atau dua sahaja yang masih beroperasi.

Anda berimpian untuk memulakan bisnes cafe atau restoran tetapi tak pasti bagaimana mahu mula?


Anda pemilik restoran atau cafe dan ingin meningkatkan prestasi bisnes anda? 


Hubungi Flavera sekarang untuk sesi perkongsian 1 on 1!



7 Sebab Kenapa Kedai Makan Selalu Lingkup Dalam 3 Tahun

Semenjak di universiti, Azman mempunyai keinginan untuk membuka kedai makannya sendiri. Resipi enak turun temurun dari neneknya menjadi inp...
Adakah anda bosan bekerja dari 9 pagi ke 5 petang setiap hari cuma makan gaji? Mungkin ramai orang yang berfikiran berikut dan berimpian menjadi bos sendiri. Kalau begitu caranya amat mudah, anda haruslah memulakan perniagaan sendiri. 

Antara perniagaan yang popular untuk di mulakan adalah restoran atau cafe kerana amat mudah untuk di mulakan. Asalkan pandai masak, tahu beli barang dan peralatan yang betul sudah memadai, betul tak?

Jangan terkejut walaupun mudah untuk dimulakan, sesudah mula operasi banyak cabaran baru yang akan muncul. 

Jadi sebelum anda membuat keputusan untuk memulakan restoran impian anda, perlulah tanya diri sendiri 5 soalan penting ini.


1. Sudahkah saya buat kajian pasaran yang secukupnya?

Jangan hanya bergembira dengan impian restoran anda sampai terlupa untuk buat kajian pasaran (market research). Anda perlulah buat kajian tentang restoran dan konsep yang ada di lokasi pilihan restoran anda. Mengapa anda perlu lawan dengan konsep yang sama? Contohnya di bazaar Ramadhan, berapa banyak gerai yang jual murtabak?

Jadi amatlah penting untuk buat kajian pasaran yang secukupnya, kerana statistik mencatatkan 3 dari 5 restoran akan lingkup dalam masa 3 tahun! 


2. Adakah konsep restoran saya kukuh?

Konsep apa yang anda nak buat? Restoran nasi campur? Cafe? Restoran fine dining? Restoran BBQ? Sudah mengenali konsep restoran anda akan memudahkan anda membuat keputusan tentang menu, renovasi, perhiasan, peralatan dapur, lokasi dan lain lain.

Anda juga perlu ingat kalau anda nak tukar konsep di masa akan datang pasti akan mengambil banyak masa dan juga wang. Paling teruk, mungkin boleh membuat restoran anda lingkup. Jadi amatlah penting untuk anda kukuhkan konsep dan dengan kajian pasaran, anda dapat menentukan jika konsep berpotensi.


3. Adakah saya mempunyai lokasi yang sesuai?

Pernah tak anda dengar pepatah 'Lokasi, Lokasi, Lokasi'?

Anda harus kaji jika lokasi yang anda pilih itu sesuai dengan konsep anda. Nak lebih tepat, di lokasi anda itu, kawasan mana yang paling berpotensi? Contonya, lokasi yang berhadapan dengan jalan yang sibuk pasti lebih bagus dari jalan yang sunyi.


4. Adakah wang saya mencukupi?

No money no talk. Nak memulakan apa jenis perniagaan pun akan memerlukan wang modal. Wang ini akan digunakan untuk membeli peralatan, renovasi, perhiasan dan juga barang mentah permulaan. 

Tetapi ramai yang terlupa untuk merizabkan wang minima bersamaan 6 bulan modal kerja. Modal kerja ini akan digunakan untuk membayar gaji, sewa dan sebagainya. Ini kerana dalam 6 bulan pertama anda mungkin akan menghadapi kesukaran seperti pelanggan kurang dan sebagainya. Jika tak cukup wang, tutup kedailah jawabnya.


5. Tahukah saya bagaimana nak jalankan perniagaan?

Ramai pemilik restoran yang kami jumpai amat arif tentang masakan mereka tetapi tak celik dalam hal pengurusan wang dan perniagaan. Ini adalah satu kesilapan besar.

Sebagai seorang ahli perniagaan, anda perlukan mementingkan segala kos dan mencari cara untuk memaksimakan keuntungan restoran anda. Anda perlu mencari keseimbangan dari kemahuan chef dan juga keuntungan perniagaan.

Jika anda rasa anda tidak mempunyai kecekapan yang secukupnya, mungkin anda perlu mencari seorang rakan perniagaan yang boleh membantu dari segi itu.

Kami harap tips-tips ini dapat membuka minda dan memberi inspirasi untuk anda mencapai impian anda. Semoga berjaya!

Anda berimpian untuk memulakan bisnes cafe atau restoran tetapi tak pasti bagaimana mahu mula?


Anda pemilik restoran atau cafe dan ingin meningkatkan prestasi bisnes anda? 

Hubungi Flavera sekarang untuk sesi perkongsian 1 on 1!




5 Soalan Anda Perlu Tanya Sebelum Memulakan Restoran

Adakah anda bosan bekerja dari 9 pagi ke 5 petang setiap hari cuma makan gaji? Mungkin ramai orang yang berfikiran berikut dan berimpian me...
Seribu satu cara sudah dilakukan! Tapi kenapa restoran atau cafe saya masih kosong?

Jika ada pelanggan pun hanya sementara saja. Sebenarnya dimana letak kesalahan?

Ini adalah perasaan kebanyakkan pemilik pemilik restoran dan cafe yang memulakan bisnes tanpa menyelidik dan membuat pelan yang kukuh. 

Menjalankan bisnes restoran/cafe ini bukanlah mudah seperti yang anda lihat. Banyak cabaran dan dugaan yang anda harus lalui jika hendak berjaya. 

Memang lumrahnya, kebanyakkan (60%) restoran atau kafe akan lingkup atau nyawa-nyawa ikan dalam tahun pertama beroperasi.

"Jadi kalau macamtu baik saya tak payah buka bisnes restoran"

Jangan terlalu negatif kerana anda perlu tahu antara bisnes-bisnes yang paling senang untuk di mulakan juga adalah bisnes restoran dan cafe!

Yang penting anda haruslah praktikan 5 prinsip ini dahulu



1. Perlu ada keunikan tersendiri


Kalau anda biasa balik kampung musim perayaan, pasti anda akan berhenti di R&R untuk berehat dan menjamu selera. Kalau anda lihat dengan teliti, kebanyakkan gerai-gerai disitu jual benda yang sama? Contohnya 6 dari 10 gerai pasti akan jual nasi campur ikan patin. 

Sebagai pelanggan, anda pasti fikir yang mana satu bagus? cincailah... mana-mana pun tak apa ataupun ke gerai yang paling panjang Q. Kita mesti lihat dari perspektif pelanggan kerana dari pandangan mereka, semuanya sama sahaja jadi nothing is special.

Kalau anda adalah seorang pemilik gerai di situ, apa yang anda perlu buat? Buatlah konsep makanan yang lain dari gerai gerai nasi campur itu! Contohnya makanan western ataupun Cina/Thai. Asalkan makanan yang anda jual boleh di terima pelanggan di situ, pasti gerai anda akan menonjol kerana lain dari semua.



2. Menu yang unik dan sedap


Makanan yang anda jual perlu ada keunikan kerana ia akan jadi bahan perbualan orang ramai. Kalau sedap dan unik, pasti orang akan bercakap tentang restoran anda dan ini pasti akan membawa impak positif.

Contohnya, Restoran Omaya di Solaris Mont Kiara ini terkenal dengan makanan Korea bertemakan keju. Ada banyak restoran korea yang kita boleh kunjungi tetapi restoran Omaya ni berbeza kerana menghidangkan keju sebagai salah satu sos yang anda boleh nikmati bersama makan kegemeran anda. Pasti mereka tahu yang keju ini adalah kegemaran ramai orang di Malaysia.




3. Aktif di media sosial


Restoran saya cantik, makan unik dan sedap tetapi pelanggan masih sikit. Apa lagi yang saya tak buat? Ini adalah masalah zaman sekarang di mana kita semua mempunyai terlalu banyak pilihan. Pelanggan zaman sekarang kebanyakkan membuat pilihan dan keputusan dari apa yang mereka lihat di media sosial.

Sesiapa yang aktif mempromosikan restoran dan makan mereka di sosial media pada lazimnya akan mendapat lebih pelanggan. Contohnya restoran burger myBurgerLab sudah beroperasi sejak tahun 2012 tetapi Q tiap-tiap malam masih panjang. Anda boleh lihat bagaimana mereka menggunakan media sosial sebagai sebuah platform untuk mengiklankan restoran dan promosi terkini mereka



4. Perlu ada inovasi mengikut trend terkini


Pelanggan zaman sekarang juga cepat bosan dengan apa yang mereka nikmati, terutamanya makanan atau minuman 'fad' (popular sementara). Siapa masih ingat zaman popular bubble tea dan juga pisang goreng cheese? Adakah sekarang ramai orang masih tergila-gilakan makanan dan minuman itu?

Sebagai pemilik restoran atau cafe, di samping menu asas, anda perlulah mempromosikan hidangan baru yang unik mengikut trend yang terkini. Salah sebuah cafe yang cekap berinovasi adalah Starbucks. Setiap bulan pasti mereka akan promosikan minuman baru unik yang bukan dalam menu asas mereka. Ini akan membuat pelanggan mereka curiga dan ingin mencuba minuman baru itu dan secara tidak langsung menjaminkan pelanggan ke cafe mereka.



5. Mengukuhkan standard dan konsistensi

Jadi sekarang anda dah buat semua yang tepat dan restoran anda kini selalu penuh dengan pelanggan. Tetapi, tiap-tiap bulan anda sedar pelanggan makin berkurangan. Kenapa pula? Punca utama fenomena ini terjadi adalah kebanyakkan restoran atau cafe tidak dapat mengekalkan standard dan kualiti yang konsisten.

Imej restoran kita ibarat kepercayaan, sekali hilang, hilang selamanya. Peluang kedua pun jarang diberikan. Pelanggan tidak suka restoran yang tidak konsisten. Kali pertama makan sedap, kali kedua tak cukup masin atau saiznya kecil. Ini semua adalah tanda-tanda restoran yang tidak konsisten.

Yang penting sebagai pemilik restoran adalah perlu mengukuhkan sistem operasi anda supaya makanan dan servis diberikan adalah sama tiap kali pelanggan datang.



Ini adalah sedikit sebanyak tips yang anda boleh praktikan untuk restoran anda. Semoga dapat memberikan inspirasi, ramai pelanggan dan menjadi terkenal

Anda berimpian untuk memulakan bisnes cafe atau restoran tetapi tak pasti bagaimana mahu mula?


Anda pemilik restoran atau cafe dan ingin meningkatkan prestasi bisnes anda? 


Hubungi Flavera sekarang untuk sesi perkongsian 1 on 1!






5 Cara Buat Restoran Anda Terkenal

Seribu satu cara sudah dilakukan! Tapi kenapa restoran atau cafe saya masih kosong? Jika ada pelanggan pun hanya sementara saja. Sebena...

 

Flavera © 2015 - Blogger Templates Designed by Templateism.com, Plugins By MyBloggerLab.com